Batu 6, Titi Gajah,
Alor Star,
17hb. Jun 1969
Y.T.M. Tunku,
Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah
faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku,
ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.Pendapat-pendapat
Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang
yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir
Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan
keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan
patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.
Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan
menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan
Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang
terjadi semenjak 13 Mei.
Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang
mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini
menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.
Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah
dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak
Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan
India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah
di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.
Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok
sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku
terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir,
terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.
Patek mohon maaf tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada
Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada
Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga,
anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.
Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister"
walau-pun raayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku
ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku
mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.
Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata
Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat
patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga
China becha.
Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis,
dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan
respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai
Melayu dari
Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang
sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh
mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.
Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri.
Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces".
Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti
tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang
akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.
Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan
bershukor dengan perbuatan saya". Taakan yang sa-orang itu selalu betul dan
yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran raayat yang
sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan
Ketua Umno.
Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi
patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang
patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah
kata-kan.
Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang
kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu
mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta berhak
memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua
sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.
Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah
kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan
menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar
akan berlaku jika ini di-
biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan
orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?
Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha
surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdoa ke-hadhrat Allah
subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini
walau-pun pahit dan pedas.
Patek Yang Ikhlas,
(Dr. Mahather bin Muhammad)
|